Sunday, 1 February 2015





              SEJARAH ASAL ASTANA LAMA PAGAR RAJA

             Istana Pagar Raja atau Istana Atas Kota sebagaimana yang tersebut telah dibina oleh Tengku Sri Maharaja Long Demor yang terkenal dengan gelaran Ku Simah Gagah sebagai hadiah kepada Tuan Cherang yang sinonim dengan gelaran Raja Budak. Istana Atas Kota telah dibina oleh tukang-tukang yang sama yang membina Istana Kota Jeram iaitu Istana Balai Telur dan juga Istana-istana kerabat D’raja Kelantan. Walau bagaimanapun, keseluruhan Istana Atas Kota telah dibina menggunakan kayu tembesu yang diambil daripada Kampung Bharu Kok Berangan dan juga dari Jeram. Pembinaan Istana ini telah mengambil masa selama 9 bulan sahaja bagi menyiapkan keseluruhan istana termasuklah rumah-rumah padi serta kandang gajah. Keluasan kawasan istana ini ditakrifkan seluas 10 hektar meliputi kawasan makam diraja serta kawasan berkumpul rakyat. Perbezaan istana ini dengan Istana Kota Jeram adalah, disekeliling istana ini mempunyai serambi dan mempunyai ruang balai tengah sebanyak 40 tiang.




              Setelah siap dibina, istana ini menjadi istana bersemayamnya Tuan Cherang dan Nang Cayang Tengku Biru sehinggalah baginda mangkat. Menurut penceritaan seorang tokoh daripada Teluban di Pattani bahawa sejak turun-temurun istana ini menjadi salah satu destinasi atau tempat yang wajib disinggah sewaktu melawat Kelantan kerana rajanya mempunyai sifat yang mementingkan hubungan persaudaraan dan masih dianggap sebagai raja kepada Pattani. Sehubungan dengan itu, Tengku Sri Maharaja Long Demor juga sering berulang-alik dari Istana Kota Jeram ke Istana Atas Kota dalam mentadbir jajahan baginda.










       Setelah baginda Tuan Cherang mangkat, istana ini telah menjadi tempat bersemayamnya anakanda baginda Tuan ku Lonik digelar Raja Kota dikalangan masyarakat setempat mengambil gelaran sempena nama istana baginda ‘Atas Kota’. Walau bagaimanapun, pusat pentadbiran bukan terletak di Istana Atas Kota sebaliknya di Istana Kota Jeram kerana waktu tersebut dikatakan bahawa Istana Kota Jeram masih lagi dikunjungi oleh bangsa Siam untuk menjejaki keturunan Raja Budak. Pihak Siam percaya bahawa selagi masih ada keturunan raja-raja Pattani lama, wilayah Pattani tidak akan aman daripada tentangan rakyat Pattani sendiri yang mendaulatkan raja-raja mereka. Kesinambungan warisan Istana Atas Kota diteruskan lagi oleh anakanda Raja Kota iaitu Tengku Paduka Raja Tuan Labuh. Tuan Labuh ini merupakan seorang bomoh D’raja dan sering dikunjungi oleh orang-orang istana Kelantan termasuklah dikunjungi oleh baginda Paduka Sri Al Sultan Muhammad Ke-III pemerintah Kelantan antara tahun 1890 hingga 1891 dan Paduka Sri Al Sultan Mansur yang memerintah Kelantan dari tahun 1891 hingga 1900.










            Walau bagaimanapun, istana ini telah dirobohkan oleh askar upahan British menyebabkan Tuan Labuh terpaksa berpindah ke bahagian hulu Istana Atas Kota dan menjadi seorang tukang emas. Tuan Labuh terkenal dengan gelaran Tokku Labuh Tepak kerana berkaki tempang sejak dilahirkan. Namun demikian, kedaulatannya sebagai waris raja Pattani digeruni oleh masyarakat setempat kerana dikatakan mempunyai ilmu batin yang tinggi dan mempunyai ‘daulat’. Berbalik kepada sejarah Istana Atas Kota, setelah dirobohkan oleh askar upahan British, tapak asal istana ini terbiar sehinggalah dinaikki tumbuhan liar sehingga tapak Istana Atas Kota hilang dari pandangan. Akan tetapi, kawasan Istana Atas Kota dikatakan menjadi kawasan larangan kepada masyarakat setempat kerana dipercayai keramat dan sering di anggap oleh masyarakat sebagai kawasan yang aneh dan berpenunggu. Rentetan itu, antara tahun 1915 semasa peperangan Tok Janggut. Istana Atas Kota dibina kembali mengambil saki-baki perkakas dari Istana Jeram oleh Penggawa Tua Haji Tuan Senik.




              Sehinggalah pada tahun 1950, apabila salah seorang cucunda kepada Penggawa Tua Tuan Senik bernama Tuan Azizah iaitu anakanda sulung  Penggawa Jeram Ke-III Tuan Muhammad  dan suaminya Tuan Sulaiman cucunda kepada Tengku Paduka Raja Tuan Labuh sepakat membina kediaman mereka di tapak istana lama berkenaan. Tuan Sulaiman ini adalah anakanda kepada Tuan Ismail atau Tuan Will Bin Tengku Wok Mahmud anakanda Tengku Indra Petra Mahkota Mantri Kelantan Tengku Long Nik yang berkahwin dengan Tuan Bidah Binti Tengku Paduka Raja Tuan Labuh. Ayahanda Tuan Sulaiman iaitu Tuan Ismail juga merupakan anakanda saudara kepada Penggawa Tua Tuan Senik sebelah bondanya. Setelah diperkenankan oleh Penggawa Tua Tuan Senik, pembinaan kediaman baru ditempat asal Istana Atas Kota dilakukan dengan menggunakan kayu hutan yang tumbuh di kawasan tapak asal istana berkenaan dan juga diambil daripada saki-baki kayu Istana Kota Jeram yang dibakar oleh tentera British yang dibawa oleh Penggawa Tua Tuan Senik. Sewaktu itu, Penggawa Tua Tuan Senik bersemayam di Kota Saring iaitu mengambil nama sempena nama Kampung Saring bersebelahan dengan Kampung Nering, kampung asal pahlawan Tok Janggut. Sejak tahun 1950, kediaman yang dibina di tapak asal Istana Atas Kota telah menjadi tempat bersemayamnya keluarga Tuan Sulaiman dan Tuan Azizah sehingga kini dan dikenali sebagai Teratak Lama Pagar Raja.

No comments:

Post a Comment